Beberapa patah perkataan khatib Jumaat di MALV berkenaan dengan kerajaan memerintah USA memberikan dimensi yang baru kepada saya. Isi khutbah tidak penting. Yang penting ialah ketika khatib menyebut tentang "our government" dengan intonasi yang mengharap. Seperti ini;
"... unfortunately, our government..." yang merujuk kepada kerajaan yang memerintah sekarang ini. Khatib menyebutnya dengan intonasi mengharap. Sepertimana kita di Malaysia ini mengharapkan kerajaan kita melakukan sesuatu perubahan atas sesuatu perkara.
Bezanya, negara kita majoriti ialah Muslim sedangkan di USA, tidak. Kita boleh mendoakan sejahtera pemimipin kita. Bolehkah mereka? Mendoakan pemimpin dalam sejahtera itu sebenarnya adalah satu nikmat juga.
----------------
Saya juga merasakan percakapan saya kurang enak, kerana saya membawa perspektif saya sebagai seorang Muslim di Malaysia yang acapkali dimomokkan dengan perasaan membenci kerajaan USA. Ketika saya berehat-rehat selepas solat tarawih, saya berbual dengan Shahrukh, yang telah menghabiskan lebih separuh dari hidup beliau di USA.
Saya mengatakan bahawa semua kerajaan yang zalim akan hancur. Ini telah terbukti melalui al-Quran. Maksud saya ialah USA juga akan hancur, walaupun saya tidak menyebutnya. Shahrukh terdiam. Saya berharap beliau menyokong kata saya. Baru saya sedar, perspektif dia dan saya, berbeza.
Apabila saya mengatakan USA pasti hancur, saya tidak mengambil kira populasi Muslim di USA sedangkan Shahrukh mengambil kira hal ini. Ini yang menyebabkan beliau terdiam. Seolah-olah saya juga mahukan beliau hancur bersama negara yang sudah menjadi negaranya.
------------------
Muslim di USA, dalam erti kata mujahadah mereka untuk cuba mengamalkan agama, lebih tinggi dari kita. Untuk solat Jumaat saja, itu sudah menjadi mujahadah menghadapi tekanan dari tempat kerja untuk keluar bersolat. Ditambah lagi dengan tekanan sosial setempat apabila mereka disyaki sebagai pengganas.
Saya pun tidak pasti, apabila ada antara kita mendoakan kehancuran USA, adakah kita terdetik dalam hati kita bahawa saudara-saudara kita yang Muslim juga adalah rakyat USA? Adakah kita mendoakan juga mereka dalam doa kita sebagaimana kita mendoakan mereka-mereka di Palestin, Afghanistan dan lain-lain?
No comments:
Post a Comment