Tel Aviv: Sekumpulan penggodam dikenali sebagai Anonymous didakwa bakal melancarkan serangan terancang terhadap Israel mulai 7 April ini.
Untuk menjayakannya, Anonymous meminta penggodam di seluruh dunia bergabung dan menyertai gerakan #OpIsrael itu.
Menurut Anonymous, misi mereka ialah ‘menghapuskan Israel dari dunia Internet’.
Menurut Anonymous, misi mereka ialah ‘menghapuskan Israel dari dunia Internet’.
Kenyataan dikeluarkan oleh Anonymous menyebut, penggodam bersetuju bersatu untuk menentang Israel dan rejim Zionis itu dinasihat supaya bersedia untuk ‘lenyap’ dari dunia maya. “Ini bukan dilakukan seorang atau sepasukan penggodam, sebaliknya diusahakan pelbagai gerakan penggodam seluruh dunia,” kata kumpulan itu.
Anonymous berkata, operasi #OpIsrael itu akan mencatat sejarah sebagai serangan siber terbesar pernah dilakukan ke atas sesebuah negara. Menurut mereka, berdasarkan senarai yang dikumpulkan, sebahagian besar daripada penggodam terbabit berasal dari Timur Tengah. Sementara itu, akhbar Haaretz melaporkan, kerajaan memandang serius ancaman berkenaan.
Pegawai kanan hal ehwal Internet Israel, Ofir Ben Avi berkata, kerajaan sedang mempersiapkan pertahanan bagi menghadapi serangan berkenaan. “Ia berbeza daripada serangan siber sebelum ini kerana penggodam di seluruh dunia bergabung menyerang kami,” katanya. – Agensi